Wednesday, July 28, 2010

Isu Pendidikan di Malaysia 2

Tenaga pengajar

Kekurangan tenaga pengajar yang berkemahiran turut menjadi isu dalam pelaksanaan pendidikan pendidikan yang berkesan. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Bahagian Perancangan Pembangunan Pendidikan (BPPDP) Kementerian Pelajaran Malaysia, pada tahun 2000 sebanyak 61.8 guru terdiri daripada guru perempuan dan KPM menghadapi masalah menempatkan mereka di sekolah luar bandar, khususnya di pedalaman dan pulau. Kebanyakan sekolah di pedalaman dan pulau mendapat guru yang kurang berpengalaman atau kurang latihan. Keadaan ini juga turut menyebabkan berlaku ketidaksepadanan (mismatch) dalam pengagihan guru mengikut opsyen. Maka berlakulah keadaan di mana kebanyakan guru yang mengajar di sekolah menjadi “bidan terjun”. Guru yang bukan opsyen terpaksa mengajar mata pelajaran kritikal seperti Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris bagi memenuhi keperluan pelajar. Disebabkan kurang pengalaman dan pengetahuan tentang subjek berkenaan maka kewibaan guru dalam menyampaikan ilmu kepada pelajar mula dipertikaikan.


Program PPSMI

Sejajar dengan matlamat ingin melahirkan pelajar yang “bertaraf dunia”, KPM juga telah melaksanakan Program Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Walau bagaimanapun penggunaan bahasa Inggeris sebagai pengantar subjek sains dan matematik telah mendapat respon yang negatif daripada rakyat. Ini kerana penggunaan bahasa asing bukan sahaja merosakan kedudukan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa ilmu, tetapi turut memusnahkan reputasi pelajar, khususnya di luar bandar. Mereka belajar melalui medium yang mereka tidak faham. Komunikasi tidak berkesan dalam pelajaran sudah tentu memberi kesan yang buruk.


Kesan globalisasi

Selain daripada itu, isu-isu berkaitan pendidikan juga turut melibatkan penggunaan internet. Era dunia tanpa sempadan atau globalisasi telah memudahkan maklumat diperoleh dengan cepat dan berkesan melalui internet atau laman-laman web dan sebagainya melalui komputer. Implikasinya, isu-isu Moral semasa khususnya isu-isu yang membabitkan nilai-nilai sosial menjadi begitu kompleks dan menjadi sukar untuk diselesaikan. Fenomena ini disebabkan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia yang ingin diterapkan bercanggah dengan nilai-nilai di Barat atau negara-negara maju yang lain yang mana mereka lebih mementingkan materialistik, individualistik dan budaya kosmopolitan.


Sahsiah Pelajar

Kualiti sahsiah pelajar pada pelbagai peringkat pendidikan juga turut menjadi isu dan dipersoalkan kerana masih terdapat sebilangan pelajar rendah yang naik ke sekolah menengah, atau pelajar menengah rendah yang naik ke Tingkatan 4 memiliki kualiti sahsiah yang kurang baik. Hal ini berlaku pada kebanyakan murid tanpa mengira kaum dan agama. Sebagai contoh, tabiat merokok di kalangan pelajar, gejala vandalisme, melepak, ponteng sekolah dan sebagainya di kalangan pelajar sekolah semakin menjadi-jadi.

Isu-isu lain dalam sistem pendidikan

Selain isu-isu yang dikemukakan di atas, terdapat pelbagai lagi isu yang timbul berkenaan pencapaian Dasar Pendidikan Kebangsaan, antaranya:
1. Kepimpinan sekolah masih tidak dapat berfungsi sepenuhnya sebagai pemimpin pengurusan dan pemimpin pengajaran (instructional leadership) yang berkesan;
2. Pengupayaan kepada sekolah adalah terhad. Semua sekolah masih perlu mengikuti satu sistem, prosedur dan pendekatan yang seragam dan tidak mengambil kira kemampuan, keupayaan khusus dan potensi untuk sekolah melaksanakan dasar dan program pendidikan sendiri;
3. Layanan yang sama diberi kepada semua sekolah walaupun pada realitinya sekolah mempunyai keperluan, kekuatan dan kelemahan serta keupayaan yang berbeza;
4. Keselamatan di sesetengah sekolah masih belum terjamin sepenuhnya;
5. Penandaarasan bagi menjamin sekolah di Malaysia setanding dengan sekolah di negara maju adalah terhad;
6. Struktur organisasi antara lapisan pentadbiran di KPM yang tidak setara menyebabkan penyaluran dasar dan pelan pelaksanaan kurang sistematik dan berkesan;
7. Sistem penyampaian masih belum cekap dan berkesan khususnya daripada aspek pemberian bantuan; dan
8. Sistem maklumat tidak menyeluruh dan tidak bersepadu.

Rujukan: http://kulanzsalleh.com

No comments:

Post a Comment