Friday, February 24, 2012

2012..................

Perjuangan 2012 perlu diteruskan dan bersama kita menuju kejayaan.

Wednesday, October 19, 2011

PMR 2011

Selamat Maju Jaya untuk semua calon PMR. Aku doakan anda semua mendapat keputusan cemerlang nanti. aminnnn

Wednesday, December 8, 2010

Takziah dan Al-Fatihah buat arwah

assalamualaikom kepada anak tengkek...

Saya ucapkan takziah kepada balu dan keluarga arwah Acik Hashim Sarjan (Sebelah Masjid Tengkek) dan arwah Angah Tapar Ami (Tengkek seberang) kerana telah kembali ke rahmatullah.

Saya doakan agar diampunkan segala dosanya dan rohnya ditempatkan ke dalam golongan orang beriman.

Amin.....

Thursday, October 21, 2010

PANDUAN UNTUK IBUBAPA DALAM MEMBIMBING REMAJA

Zaman remaja merupakan alam persinggahan bagi setiap manusia di mana seseorang remaja mula memberikan definisi kewujudan dirinya dalam keluarganya, kumpulan rakan sebayanya dan masyarakat sekeliling. Remaja adalah satu fasa kehidupan di mana remaja bergelut dengan proses transisi dari alam kanak-kanak ke alam kedewasaan. Kanak-kanak bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa mereka yang memberikan sokongan dan arahan dalam aspek emosi dan ekonomi. Alam dewasa pula dianggap sudah mencapai tahap kemerdekaan dari sudut ekonomi dan emosi dan perlu membuat pilihan terhadap pengajian mereka, pekerjaan dan hubungan peribadi yang akan mengesani setiap aspek masa hadapan mereka secara langsung.

Zaman remaja boleh menjadi zaman yang penuh cabaran bagi sebahagian remaja. Pada waktu inilah mereka perlu berhadapan dengan perubahan fizikal yang berlaku secara mendadak, tekanan untuk mematuhi trend semasa dan tidak-tanduk rakan sebaya, serta pengharapan yang semakin tinggi daripada keluarga, guru-guru dan orang dewasa yang lain. Remaja juga perlu menangani konflik yang dihadapi daripada pihak yang berbeza kepentingan seperti ibu bapa, guru-guru, rakan sebaya dan media. Mereka sebenarnya turut berjuang dengan keperluan diri untuk ‘diterima’ oleh sesuatu pihak atau kumpulan. Pencapaian akademik dan sosial turut memberikan tekanan kepada remaja.

Bagi sesetengah remaja pula, cabaran-cabaran di atas menjadi lebih rumit apabila ditambah dengan situasi keluarga yang susah, perpisahan dengan salah seorang atau kedua-dua ibu bapa (akibat kematian atau perceraian), suasana pembelajaran yang tidak terkawal (akibat kekurangan guru atau saiz kelas yang terlalu besar), kawasan kejiranan yang kurang prihatin atau selamat dan pendedahan kepada bahan-bahan yang boleh membawa ketagihan seperti rokok, alkohol dan dadah. Tanpa bantuan, sokongan dan panduan daripada orang dewasa, anak-anak muda remaja ini akan terperangkap ke dalam lembah yang penuh berisiko ini.

Dalam masyarakat kita hari ini, perkara ini ditandai dengan gejala dibuang sekolah, lari dari rumah, menyertai kumpulan anti sosial seperti samseng, Black Metal dan kongsi gelap, penyalahgunaan alkohol atau dadah, terlibat dengan seks rambang, bohsia dan bohjan, pembuangan bayi dan masalah jenayah juvana. Turut menyedihkan sekiranya remaja hidup terumbang-ambing tanpa panduan akibat terheret oleh masalah keluarga yang porak-peranda dan terhimpit oleh kemiskinan yang mengakibatkan fenomena keciciran akademik, terpinggir daripada masyarakat sosial dan kelakuan yang memusnahkan diri sendiri.

Cabaran Remaja Masa Kini

Lebih kurang setengah abad yang lalu, para remajanya tidak menghadapi kesukaran yang bertubi-tubi yang dihadapkan dalam hidup mereka seperti remaja masa kini. Kehidupan adalah lebih simple tanpa perlu belajar tinggi. Remaja perempuan biasanya mengalami kedatangan haid pertamanya sekitar umur 14-16 tahun dan berkahwin menjelang usia 16-18 tahun. Alam perkahwinan memberikan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu. Remaja lelaki juga biasanya mengakhiri zaman kanak-kanak mereka dengan akil baligh pada usia yang lebih lewat sedikit dan berkahwin ketika berusia sekitar dua puluhan.

Fasa pembelajaran ditempuhi secara tidak formal seperti belajar membaca Al-Quran, pengajian fardhu ‘ain, belajar memasak dan menjahit bagi remaja perempuan serta bertukang dan memburu binatang bagi remaja lelaki. Pembelajaran ini menyediakan mereka ke alam tanggungjawab yang bakal dipikul sesudah berumahtangga. Oleh kerana fasa remaja yang terlalu pendek, tidak ditemui gejala sosial pada remaja zaman tersebut.

Hari ini, kanak-kanak menempuhi zaman remaja mereka dengan lebih awal iaitu pada umur 11-13 tahun bagi remaja perempuan dan 13-15 tahun bagi remaja lelaki. Tempoh pengajian yang lama yang mesti dihabiskan pula ialah sepanjang 11 tahun, bermula umur tujuh tahun sehingga 17 tahun sebelum mereka dibenarkan memikul tanggungjawab sebagai seorang dewasa.

Kebanyakan keluarga sekarang juga tidak membenarkan anak mereka berkahwin pada usia remaja dengan alasan perlu bekerja dahulu atau menyambung pengajian di peringkat tertinggi.
Pada masa yang sama, naluri remaja mula bersifat kedewasaan dan memerlukan tuntutan bagi menzahirkan ‘kebebasan’ dan kematangan mereka. Remaja mula berasa tidak senang diganggu oleh pertanyaan daripada ibu bapa. Kehidupan moden pula menyediakan remaja dengan pelbagai pilihan dari segi kepercayaan, pegangan hidup, karier, cara hidup dan kawan sekeliling.

Cara hidup (lifestyle) sementara ini berpunca daripada keterasingan daripada keluarga lanjutan (extended family) dan sikap individualistik masyarakat hari ini. Oleh itu, hari ini kita lihat golongan remaja belia memerlukan ‘kebebasan’ terhadap cara berfikir dan cara bertindak daripada diwarnai oleh ibu bapa dan masyarakat.

Sementelahan pula, infrastruktur sosial dan masyarakat hari ini amat meletakkan pengharapan yang tinggi kepada golongan muda ini. Oleh itu, badan-badan tertentu dalam masyarakat dan orang dewasa di sekelilingnya haruslah memainkan peranan yang lebih proaktif dengan menawarkan bantuan sokongan kepada golongan muda ini dengan perkhidmatan kaunseling, talian hotline, dan kursus jangka pendek untuk remaja dan ibu bapa. Membantu remaja ke arah kematangan dan kemerdekaan diri memerlukan ibu bapa memahami perkembangan remaja yang sihat dan menggali bahan-bahan yang boleh membantu mereka sekiranya anak remaja bertindak di luar batasan.

Panduan Keibubapaan Setelah Anak-anak Menginjak Alam Remaja

Semasa remaja, mereka mula mengambil tindakan yang berisiko dan bereksperimen. Ini adalah titik permulaan bagi remaja untuk beralih dari alam yang berpusat kepada keluarga (family-centered) kepada komuniti yang jauh lebih luas di mana mereka mula tercari-cari identiti diri sendiri. Remaja mungkin akan memilih kawan-kawan yang tidak disenangi oleh ibu bapa atau mencuba merokok, menghisap dadah dan minum minuman beralkohol. Mereka turut bergaya dengan fesyen semasa, membanding-bandingkan gaya hidup keluarga mereka dengan keluarga yang lain serta melanggar peraturan rumah atau norma masyarakat.

Remaja berbuat demikian untuk menguji sejauh manakah kemampuan dan keterbatasan mereka dalam melakukan sesuatu tindakan. Mereka ingin percaya bahawa mereka boleh meneruskan hidup tanpa panduan atau kawalan ibu bapa. Remaja juga mungkin cuba memindahkan keseimbangan kuasa dan otoriti ke pihak mereka. Maka dengan itu, ramai ibu bapa yang bimbang dan dihantui dengan sikap anak remaja mereka yang seolah-olah ingin berkonfrontasi dengan mereka. Ibu bapa juga bimbang dengan tindakan berisiko tinggi yang diambil oleh anak remaja mereka.

Sebenarnya tiada jalan pintas dalam mendidik anak-anak. Ibu bapa haruslah melengkapkan diri dengan kemahiran keibubapaan dari semasa ke semasa supaya berlaku aliran komunikasi yang licin di antara ibu bapa dan remaja. Ibu bapa perlu memahami keperluan emosi, fizikal dan mental remaja bagi membangunkan sahsiah mereka sepenuhnya.

Panduan berikut boleh digunakan oleh ibu bapa dan orang dewasa yang ingin menangani remaja keseluruhannya:

Didik diri anda dengan perkembangan anak-anak sebaik memasuki alam remaja. Pelajari kelakuan dan tindak-tanduk yang biasa bagi remaja, perubahan fizikal, biologi, emosi dan mental yang berlaku serta kesannya dan cara membantu anak remaja anda menangani perubahan tersebut.

Kenangi semula zaman remaja anda; perasaan yang berubah-ubah (mood swing), kemarahan terhadap pihak yang memegang kuasa (seperti ibu bapa, guru-guru dan sebagainya), kebimbangan dan harapan anda. Lihat pula tingkah-laku anak remaja anda dari sudut memori tersebut supaya anda dapat memahami perspektif mereka.

Daftarlah untuk kursus kemahiran keibubapaan yang berkesan. Keibubapaan adalah satu kemahiran yang perlu dipelajari dan ia tidak datang sendiri. Belajarlah juga daripada ibu bapa lain yang berpengalaman dalam mendidik remaja yang berjaya.

Dengarlah dan kurangkan bercakap. Anak remaja anda telah menghabiskan sebahagian besar masa kanak-kanak mereka sebagai pendengar dalam kebanyakan situasi. Ketika remaja inilah mereka mahu dan perlukan peluang untuk didengar dan berkongsi perasaan dan pendapat mereka. Mereka mula menyemak semula pegangan keluarga, adat tradisi dan agama yang sesuai dengan kehendak identiti mereka.

Didiklah anak remaja anda tentang asam garam kehidupan, dan kemanisan dan kepahitan menyelesaikan masalah agar mereka tahu menikmati kegembiraan dan menangani perkara yang buruk. Sedarkan remaja bahawa hidup ini tidak seindah mimpi. Jangan dibuai remaja dengan harapan semuanya mudah dan indah kerana ini akan menyebabkan remaja kecewa dengan realiti kehidupan. Jangan sempitkan ruang lingkup pilihan yang ada. Misalnya, meminta anak belajar dengan rajin sekiranya ingin menjadi seorang doktor. Realitinya ramai juga remaja yang pintar yang tidak mendapat kursus pilihan masing-masing kerana persaingan yang sengit.

Gunakan kaedah ‘peneguhan positif’ (positive reinforcement) untuk tingkah-laku yang positif sekiranya munasabah; ia jauh lebih berkesan daripada kritikan (atau kutukan) dan hukuman terhadap tingkah-laku yang negatif. Peneguhan positif diberi dalam bentuk pujian, penghargaan, hadiah istimewa atau pergi melancong misalnya. Perkataan yang memperkecilkan keupayaan dan kebolehan mereka boleh menyebabkan kecederaan kepada penghargaan kendiri (self-esteem) remaja. Perkakas yang paling berguna dalam mendidik remaja ialah kasih sayang, belas ihsan, kepekaan, sanjungan, memahami dan komunikasi yang telus dan tulus.

Didik anak remaja anda bahawa hak-hak dan tanggungjawab berjalan seiringan. Berikan tanggungjawab sedikit demi sedikit kepada anak remaja anda dengan tujuan melatihnya seperti tanggungjawab menjaga keselamatan dirinya dan ahli keluarga yang lain. Beri peluang kepada remaja untuk membantu kerja-kerja di rumah dan terlibat dengan proses perbincangan bagi mencapai sesuatu keputusan dalam keluarga.

Dapatkan pandangan remaja dan bantu mereka agar memahami proses bagaimana sesuatu keputusan dicapai. Berikan situasi di mana remaja diuji dengan kemahiran membuat keputusan dengan sokongan orang dewasa di sekelilingnya. Jangan kritik remaja sekiranya keputusan yang diambilnya tidak tepat atau tidak seperti yang diingini. Sebaliknya tunjukkan bahawa anda memahami dan berikan bantuan yang diperlukan. Dengan ini, remaja akan belajar membuat keputusan-keputusan yang penting dalam hidup mereka seperti keputusan samada hendak merokok atau tidak, hendak belajar atau tidak dan sebagainya.

Bantu remaja agar tidak terlalu bergantung kepada orang di sekitarnya seperti ibu bapa atau abang dan kakaknya. Keperluan remaja untuk memanifestasikan ‘kebebasan’ dan kematangan mereka mungkin berlaku pada masa yang berbeza dan melalui wadah yang berbeza. Kadangkala sukar bagi ibu bapa untuk membiarkan remaja melakukan keputusan bersendirian kerana risaukan keselamatan mereka. Walau bagaimanapun, keupayaan remaja menangani tanggungjawab yang semakin bertambah akan meningkat sekiranya ibu bapa mampu memberikan sokongan kepada pilihan yang mereka buat dan menjadikan remaja bersedia menghadapi cabaran yang menanti.

Berikan peluang kepada anak-anak untuk terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan. Golongan muda sebenarnya sedang mencari-cari ruang untuk diri mereka di dalam dunia ini. Melibatkan remaja dalam aktiviti komuniti dan masalah masyarakat akan mengalihkan perhatian mereka terhadap diri sendiri dan menolong mereka membangunkan kemahiran sosial mereka dengan perasaan ‘dipunyai’ (belonging) di samping memperkasakan remaja dalam menyelesaikan masalah masyarakat. Bantu anak remaja yang bersekolah asrama untuk menyertai kelab-kelab remaja seperti Kelab Remaja JIM (KRJ) atau program dakwah yang lain ketika cuti sekolah.

Adakan program ziarah kampung, memberi bantuan kepada fakir miskin dan sebagainya yang boleh mengajar remaja tentang realiti kehidupan selain mengelakkan remaja terlibat dalam gejala sosial.

Luangkan masa dari segi kualiti dan kuantiti terhadap anak remaja anda. Tidak ada istilah ‘masa berkualiti’. Untuk mendapatkan kualiti dalam perhubungan, kuantiti masa juga adalah kritikal. Zaman remaja inilah biasanya anak remaja anda semakin jauh daripada keluarga dengan meluangkan lebih banyak masa di sekolah, dengan rakan sebaya ataupun sudah bekerja. Ibu bapa yang prihatin akan sentiasa meluangkan masa dengan anak remaja mereka kerana inilah kunci kepada kesejahteraan perkembangan emosi dan sosial remaja.

Ambil peluang ketika remaja berada di rumah, sewaktu makan malam, solat berjemaah di rumah atau surau serta menonton televisyen bersama untuk mengukuhkan hubungan anda dengan remaja. Ambil tahu apakah minatnya dan hobinya serta terlibat dengan minat tersebut. Ini boleh membantu mengukuhkan sokongan anda terhadapnya serta memberi gambaran kepada anda tentang alam remajanya.

Ada ketikanya ibu bapa merasa kecewa, marah, sedih atau putus asa terhadap anak remaja mereka. Terimalah perasaan anda itu. Menjadi ibu bapa yang baik tidak semestinya mesti segalanya sempurna. Tunjukkan bahawa anda mampu meminta maaf kepada remaja sekiranya anda telah terkasar dengan mereka. Ini akan menjadi contoh kepada remaja bahawa manusia juga melakukan kesilapan dan bermaaf-maafan adalah suatu cara dalam memulihkan semula perhubungan yang retak oleh tekanan dan ketidaksefahaman.

Dapatkan bantuan dan panduan untuk diri anda dalam menangani perubahan pada diri anak remaja anda. Lihat tanda-tanda berlakunya krisis dan berbincanglah dengan ibu bapa lain atau dapatkan bantuan pakar. Dengan ini, ibu bapa boleh memahami apakah yang normal atau tidak normal pada seseorang remaja.

Kebanyakan remaja mempunyai masalah pada suatu masa tertentu. Ini ditunjukkan dengan tingkah-laku memberontak secara tiba-tiba dan adalah normal kepada remaja. Janganlah ibu bapa pula merasa malu di atas sikap remaja. Jangan pula anggap bahawa setiap tingkah-laku anak-anak mencerminkan kualiti keibubapaan anda. Anda sudah lakukan yang terbaik dan berusahalah agar tingkah-laku negatif remaja tidak berpanjangan dan dibaiki segera.

Jangan paksa remaja menyelesaikan masalah mereka dengan drastik. Remaja juga perlukan masa dan sokongan untuk membantu menyelesaikan masalah mereka. Misalnya, berikan masa kepada remaja untuk membuang tabiat merokok dengan mendedahkan semua maklumat yang perlu dan memberi bantuan profesional kepadanya. Tunjukkan sokongan anda dan tidak berputus asa dengan mereka.

Sediakan peluang untuk mereka membesar dan mengharungi zaman remaja dengan tindakan dan maklum balas yang positif. Berkongsi dengan anak remaja tentang harapan anda terhadapnya, pelajarannya dan masa hadapannya. Muhasabah tentang peranan mereka dan minta mereka muhasabah diri anda sebagai ibu bapa. Sediakan peluang untuk mereka mengasah bakat dan minat mereka serta mempertajamkan kemahiran mereka di samping memperkembangkan jati diri dan daya saing.

Sunday, September 5, 2010

Panduan Untuk Hadir Temuduga

CONTOH SOALAN-SOALAN TEMUDUGA

Apakah yang anda ingini 5 tahun daripada sekarang?

Mengapakah anda memilih kerjaya yang sedang anda kejar sekarang?

Cerita sedikit tentang diri anda.

Apakah yang dapat memotivasikan anda?

Apakah kelayakan yang anda miliki yang boleh menolong dalam kerjaya pilihan anda?

Bagaimanakah anda menentukan/menilai kejayaan?

Apakah sumbangan yang anda dapat berikan kepada pihak kami?

Terangkan/huraikan perhubungan yang perlu terjalin antara penyelia dan orang-orang bawahannya.

Apakah kelemahan-kelemahan anda?

Adakah gred-gred yang anda capai semasa belajar menggambarkan kebolehan anda sebenar?
Mengapakah patut kami memilih anda?

Ceritakan satu pengalaman yang paling berguna kepada anda.

Nyatakan 2 atau 3 perkara yang anda anggap penting dalam pekerjaan anda.

Apakah matlamat dan tujuan jangka panjang dan jangka pendek anda? Bagaimana anda membuat persediaan untuk mencapainya?

Yang mana lebih penting kepada anda : duit atau jenis pekerjaan.

Apakah yang anda anggap sebagai kekuatan anda.

Nyatakan 2 atau 3 pengalaman pencapaian yang telah memberikan anda kepuasan. Mengapa?

bekerja yang bagaimanakah dapat memberikan keselesaan kepada anda?

Bagaimanakah anda apabila bekerja dalam keadaan yang tertekan? (work under pressure)

Apakah kesulitan yang pernah anda hadapi dan bagaimana anda dapat mengatasinya.

Apakah yang anda telah pelajari daripada kesilapan-kesilapan pada masa-masa lalu?

Apakah objektif kerjaya jangka panjang anda?

Bagaimanakah anda merancang untuk mencapai matlamat kerjaya anda?

Apakah kualiti yang perlu ada pada seseorang yang berjaya?

Apakah subjek yang anda paling minat dan paling tidak minat sekali? Mengapa?

Apakah perubahan-perubahan yang anda akan lakukan semasa berada di kolej atau universiti? Mengapa?

Apakah yang anda telah pelajari daripada penyertaan anda dalam aktiviti kokurikulum?

Adakah anda mempunyai keutamaan tempat/lokasi anda bekerja? Mengapa?

ganjaran terpenting yang anda jangkakan dalam kerjaya anda?

Bincangkan sedikit tentang isu semasa yang berkait dengan kerjaya pilihan anda.

Tips Hadir Temuduga

PADA HARI TEMUDUGA:
  • Pakailah pakaian yang sesuai, kemas lagi bersih. Pelajar-pelajar lelaki perlu memakai tali leher. Jangan pakai pakaian yang terlampau berwarna-warni dan menjolok mata, berselipar, serta menggunakan minyak wangi dan alat-alat solek yang berlebihan. Elakkan memakai baju batik dan T-shirt. Cuba bayangkan jika anda yang menemuduga, anda pasti akan memilih calon yang berpakaian kemas.
  • Pakailah kasut kulit. Elakkan kasut kain, kasut sukan atau selipar.
  • Rambut anda hendaklah pendek bagi lelaki dan kemas disikat atau bertudung bagi perempuan.
  • Pastikan anda ada membawa bersama-sama anda surat panggilan temuduga, kad pengenalan, surat beranak, sijil-sijil asal, dokumen-dokumen asal serta surat-surat akuan asal (jika ada) untuk disemak oleh panel temuduga. Atur mengikut susunan yang dikehendaki dan sebaik-baiknya difailkan supaya nampak lebih kemas dan teratur. (Jangan digulung-gulung sijil anda).
  • Tentukan di mana, bila dan pukul berapa temuduga itu diadakan. Cuba untuk sampai antara 10 – 15 minit lebih awal supaya anda punya cukup masa untuk berehat dan bertenang, tetapi jangan terlalu lama sehingga anda berasa cemas pula. Jangan sekali-kali datang lambat.
  • Apabila dipanggil masuk ke dalam bilik temuduga, anda hendaklah mengetuk pintu terlebih dahulu sebelum masuk. Jangan berasa gentar, masuk dengan hati yang tenang serta penuh yakin.


TINGKAHLAKU SEMASA TEMUDUGA:


Semasa hendak masuk ke bilik temuduga janganlah gentar. Buat seperti biasa saja.

  • Biasakan memberi ucapan ‘selamat pagi/selamat petang’ mengikut pada keadaan waktu, atau ‘assalamualaikum’ sekiranya panel temuduga itu beragama Islam.
  • Jangan hulurkan tangan anda untuk berjabat tangan selagi penemuduga itu tidak membuat gerakan dahulu, jika kiranya ia hendak berbuat demikian.
  • Jangan terus duduk melainkan telah dijemput berbuat demikian. Apabila disuruh duduk, ucapkan terima kasih dan duduklah dengan sempurna serta tegakkan badan. Jangan menggelisah.
  • Jangan cuba hendak mengalih keadaan kerusi yang disediakan.
  • Serahkan dokumen-dokumen berkaitan apabila diminta. Jangan anda meletakkan barang-barang lain, tangan ataupun siku anda di atas meja penemuduga.
  • Jangan duduk bersilang kaki. Jangan goyang-goyangkan kaki ataupun menggerakkannya ke sana sini.
  • Jangan cuba hendak menjenguk atau membaca surat-surat dan lain-lain kertas yang terdapat di atas meja penemuduga.
  • Biarkan penemuduga memulakan perbualan.
  • Apabila bercakap pandanglah ke muka penemuduga itu.
  • Jangan menjawab soalan-soalan dengan tergopoh-gapah. Jawablah setiap soalan yang ditanya dengan terang dan jelas serta mudah didengar. Jawapan yang diberi itu hendaklah tepat dan jangan bercakap panjang lebar perkara yang tidak berkaitan. Jangan sekali-kali menggunakan bahasa kasar. Bercakaplah dengan penuh rasa yakin dan tenang.
  • Gunakan ganti nama seperti tuan/puan pada orang yang menemuduga dari semasa ke semasa, tetapi jangan selalu sangat menggunakannya pula. Apabila menyebut nama seseorang gunakan gelaran yang terdapat pada nama orang tersebut seperti Tuan/Tan Seri/Dato’/ Dato’ Seri/Tuan/Puan/Encik dan sebagainya.
  • Anda haruslah sentiasa bersopan santun biarpun ada ketikanya soalan yang dikemukakan mungkin mencabar anda. Perkara semacam ini selalunya disengajakan untuk melihat sejauhmana anda akan bertindak terhadap keadaan atau situasi yang menekan.
  • Tumpukan perhatian pada setiap soalan dan beri jawapan atau tindakbalas yang tepat dan sempurna.
  • Cuba kembangkan perbincangan pada tajuk/hal yang telah menarik perhatian penemuduga, tetapi bersedialah membatasi mana-mana yang dirasakan tidak menarik perhatian mereka.
  • Anda mestilah bersedia dan berwaspada pada setiap ketika. Hujahkan satu-satu ‘point’ itu dengan penuh semangat.
  • Cuba kembangkan jawapan “ya” atau “tidak” anda dengan sebab musabab yang munasabah.
  • Jika anda tidak tahu jawapan kepada sesuatu soalan, jangan cuba hendak berbohong ataupun mendiamkan diri sahaja kerana ini nanti akan melemahkan peluan anda. Sebaik-baiknya anda berterus terang yang anda tidak tahu jawapan bagi soalan berkenaan.
  • Jangan menguyah sesuatu semasa temuduga sedang berjalan.
  • Jangan sekali-kali cuba menyampuk semasa penemuduga sedang bercakap atau berbincang sesuatu di antara mereka.
  • Minta penjelasan sekiranya anda tidak begitu faham pada soalan-soalan tertentu.
  • Bersedia memberitahu penemuduga tentang keluarga, persekolahan, kegemaran dsb., selaiin dari pilihan kerjaya dan pengajian anda. Jangan bercakap berlebihan dan yang tidak sepatutnya. Jangan pula berbincang apa-apa masalah peribadi anda semasa temuduga.
  • Jangan menyeterui para penemuduga dengan sifat angkuh atau sifat tidak acuh yang anda tunjukkan.
  • Gunakan satu-satu bahasa tanpa campur-aduk dengan bahasa lain. Sebagai contoh jangan gunakan, “I fikir problem ini tidak dapat diselesaikan”. Ataupun “You taulah, problem ini begitu complicated”. Sekiranya disoal dalam Bahasa Melayu, jawablah dalam Bahassa Melayu dan sekiranya disoal dalam Bahasa Inggeris, anda perlulah pula menjawab dalam Bahasa Inggeris.
  • Cuba jawab semua soalan dengan tenang. Jangan cuba menengking penemuduga. Mungkin soalan itu mudah dan tidak berkaitan. Umpamanya jika ditanya berapa orang calon sedang menunggu di luar, itu tidak ada kaitan dengan pilihan kerjaya anda. Tujuan soalan sedemikian dikemukakan ialah untuk melihat sama ada anda ‘observant’ atau tidak.
  • Biarkan penemuduga itu menamatkan temuduga.
  • Di akhir temuduga, ucapkan terima kasih kepada panel temuduga kerana memberi peluang kepada anda menghadiri temuduga itu.
  • Tambahan: Jika diberi peluang untuk bertanya soalan, kemukakan soalan yang munasabah.


CONTOH SOALAN-SOALAN TEMUDUGA

Siapapun Amat Sukakan Kerja Kerajaan!

Banyak kelebihannya bekerja dengan sektor awam dan saya percaya disebabkan kelebihan-kelebihan inilah mengapa begitu ramai orang memohon jawatan kosong yang diiklankan di sektor awam. Antara kelebihan-kelebihan yang anda dapat sebagai seorang penjawat awam ialah:

  • Elaun perumahan - Ya, anda dapat elaun perumahan pada setiap bulan. Usah risau lagi untuk membayar sewa bulanan rumah anda kerana elaun ini sudah pasti akan membantu.
  • Cost of living allowance (COLA) - Anda bekerja di bandaraya yang taraf hidupnya adalah tinggi? Memang semuanya mahal, dari tambang bas, makan, tol dan lain - lain. Tahukah anda bahawa COLA ini dibayar berdasarkan di bandar mana anda bekerja?
  • Imbuhan tetap khidmat awam (Itka) Anda sebagai kakitangan awam, ada satu imbuhan khas disediakan khas buat anda. Ini adalah satu penghargaan buat mereka yang berkhidmat buat negara.
  • Kenaikan gaji setiap tahun - Anda berkhidmat untuk kerajaan, sudah pasti ada kenaikan gaji tahunan anda. Lagi lama anda berkhidmat, lagi tinggi kenaikan gaji yang anda perolehi. Sudah pasti anda sukar nikmati kenaikan ini di mana - mana selain di sektor awam.
  • Kemudahan pinjaman komputer dan kenderaan - Anda mahu buat pinjaman komputer ataupun pinjaman kenderaan? Dengan sepantas kilat anda boleh mendapatkannya.
  • Cuti tahunan mengikut kelayakan - Tahukah anda bahawa cuti diberikan paling minima adalah 14 hari iaitu buat pekerja am. Jika anda berjawatan professional, cuti anda adalah 25 hari. Itu belum campur lagi dengan kenaikan cuti tahunan dan juga kenaikan pangkat.
  • Cuti bersalin Usah risau - risau jika anda rasa anda/orang rumah anda perlu ambil cuti bersalin 2 bulan. Sudah tentu ianya diberikan dengan gaji terus jalan!
  • Pinjaman perumahan Ya, anda boleh mula memiliki aset terbesar dalam kehidupan anda, iaitu rumah! Dalam masa yang singkat, anda sudah boleh mula membuat pinjaman untuk membeli 'banglo' idaman anda.
  • Caruman KWSP atau pencen Anda pilih mana anda suka. Nak KWSP ke pencen ke? Kedua - duanya ada kelebihan tersendiri. Jadi, usah risau akan masa depan anda lagi..
    Bersara pada umur 58 tahun. Sungguh lama anda berkhidmat dalam kerajaan tu..Jika di luar sana, adakah anda akan diberikan peluang berkhidmat selama itu?
  • Peluang kenaikan pangkat Siapa taknak naik pangkat kan? Naik pangkat maknanya naik gaji dan juga anda naik selevel lagi dari tahap anda sebelum ini. Kiranya anda jadi bos la ni..
  • Peluang melanjutkan pelajaran Wah! Sambung belajar pun diberikan peluang. hebat tu! Dan untuk makluman anda, anda juga akan diberi peluang tajaan untuk menyambung pelajaran anda. Sudah tentu ini memberikan 1001 kebaikan buat anda dan juga kerajaan.
  • Peluang untuk berkursus dari semasa ke semasa Boleh dikatakan pada setiap bulan anda akan dihantar ke kursus. Sudah tentu banyak ilmu pengetahuan yang anda pelajari percuma yang di'support' oleh kerajaan. Jika anda hadir sendiri kursus tersebut, dekat 4 angka juga anda perlu bayar setahun.
  • Lebih banyak masa diluangkan bersama keluarga Ya, kini anda akan punyai lebih banyak masa bersama keluarga berbanding kehidupan sebelum ini. Dan keluarga anda semakin menyayangi anda seadanya...