Wednesday, June 23, 2010

Apa itu 'masuk suku'?

Rujukan; Norzali Ibrahim, Penasihat Adat Yang Teramat Mulia Tunku Besar Tampin
Tersiar dalam: Utusan Malaysia (19 Jun, 2010)

Ramai pihak yang tersenyum sinis apabila mendengar perkataan 'masuk suku' kerana bagi mereka masuk suku bermaksud 'masuk tidak sepenuhnya' atau hanya 1/4 sahaja yang masuk.

Dalam masyarakat Adat Perpatih Negeri Sembilan ini, perkataan 'masuk suku' itu membawa pengertian yang berbeza daripada masyarakat umum, khususnya yang tidak mengamalkannya.

Ini kerana bagi pengamal Adat Perpatih kata 'masuk' dalam perkataan ini tidak bererti 'pergi ke dalam', manakala 'suku' pula tidak membawa maksud ukuran 'satu daripada empat bahagian' atau 1/4.

Sebaliknya kata 'masuk' dalam Adat Perpatih bermaksud 'menjadi ahli' atau 'anggota', sementara 'suku' pula panggilan bagi kelompok kekeluargaan yang terbesar dalam kalangan masyarakat adat.

Di Negeri Sembilan terdapat 12 suku utama iaitu Biduanda, Batu Hampar, Seri Melenggang, Tanah Datar, Seri Lemak, Mungkal, Tiga Nenek, Paya Kumbuh, Anak Melaka, Anak Acheh, Batu Belang, dan Tiga Batu.

Selain 12 suku ini terdapat beberapa kelompok suku kecil lain.

Setiap anggota msyarakat Adat Perpatih ialah ahli keluarga atau anggota kepada salah satu daripada suku-suku tersebut.

Keanggotaan seseorang ahli masyarakat Adat Perpatih mengikut suku ibu iaitu jika ibunya anggota suku Biduanda maka anak-anaknya akan bersuku Biduanda.

Orang bukan Adat Perpatih boleh jadi ahli masyarakat adat dengan syarat dia menjadi 'anak angkat' kepada salah satu daripada 12 suku tersebut.

Perbuatan menjadi anak angkat ini yang dikatakan oleh umum sebagai 'masuk suku'.

Justeru, perbuatan masuk suku ini adalah satu institusi menjadi anak angkat kepada salah satu suku dalam masyarakat Adat Perpatih.

Istilah adat bagi perbuatan 'masuk suku' ini adalah 'berkodin'.

Berkodin bermaksud bersaudara dan bersaudara bermakna menjalin ikatan kekeluargaan.

Ikatan kekeluargaan yang terjalin bukan terhad dengan keluarga yang menerima seorang itu sebagai anak angkat tetapi seluruh kelompok kekeluargaan iaitu semua anggota suku keluarga angkatnya.

Ada dua sebab dan dua cara orang 'masuk suku' atau 'berkodin.'

Pertamanya, orang luar khususnya lelaki yang hendak berkahwin dengan orang Adat Perpatih. Suku yang dimasukinya itu harus tidak sama dengan suku bakal isteri.

Contohnya, jika bakal isterinya anggota suku Tanah Datar, maka dia harus menganggotai salah daripada 11 suku lain.

Tujuan 'masuk suku' dalam kes seperti ini ialah suku angkat individu tersebut akan bertanggungjawab sepenuhnya jika berlaku sebarang masalah semasa mereka menjadi menantu kepada suku isterinya.

Pendek kata, dalam kodin disebabkan ini, individu berkenaan hanya menumpang bersaudara dalam suku yang menerima dan mengkodinkannya.

Berkodin atas sebab ini disitilahkan sebagai 'kodin adat' atau 'kodin pinang sebatang' atau dikatakan juga sebagai 'kodin selayar atap atau sebilah lantai'. Aturan dan adat istiadat untuk jenis ini sederhana sahaja.

Kodin yang kedua adalah mengambil anak angkat perempuan, selalunya yang masih bayi.

Anak perempuan dalam masyarakat Adat Perpatih ialah aset kerana perempuan sahaja yang mewarisi nama suku dan harta pusaka, sama ada material dan bukan material.

Jika sesebuah keluarga tidak mempunyai anak perempuan keluarga berkenaan dianggap sebagai 'pupus'.

Justeru, bagi mengelakkan keadaan 'pupus' ini, keluarga berkenaan akan mengambil anak angkat sama ada daripada kalangan orang Melayu atau keturunan asing, selalunya berketurunan Cina. Tegasnya, keahlian dalam kodin jenis ini merupakan keahlian penuh.

Kodin atas sebab ini dikatakan sebagai 'kodin adat dan pusaka' atau 'kodin aur serumpun'.

Aturan dan adat istiadat untuk kodin jenis ini adalah kompleks dan melibatkan semua ketua adat dalam suku dan Undang atau Penghulu Luak kerana akan melibatkan perwarisan harta pusaka adat suku.

No comments:

Post a Comment