Sunday, September 5, 2010

Panduan Untuk Hadir Temuduga

CONTOH SOALAN-SOALAN TEMUDUGA

Apakah yang anda ingini 5 tahun daripada sekarang?

Mengapakah anda memilih kerjaya yang sedang anda kejar sekarang?

Cerita sedikit tentang diri anda.

Apakah yang dapat memotivasikan anda?

Apakah kelayakan yang anda miliki yang boleh menolong dalam kerjaya pilihan anda?

Bagaimanakah anda menentukan/menilai kejayaan?

Apakah sumbangan yang anda dapat berikan kepada pihak kami?

Terangkan/huraikan perhubungan yang perlu terjalin antara penyelia dan orang-orang bawahannya.

Apakah kelemahan-kelemahan anda?

Adakah gred-gred yang anda capai semasa belajar menggambarkan kebolehan anda sebenar?
Mengapakah patut kami memilih anda?

Ceritakan satu pengalaman yang paling berguna kepada anda.

Nyatakan 2 atau 3 perkara yang anda anggap penting dalam pekerjaan anda.

Apakah matlamat dan tujuan jangka panjang dan jangka pendek anda? Bagaimana anda membuat persediaan untuk mencapainya?

Yang mana lebih penting kepada anda : duit atau jenis pekerjaan.

Apakah yang anda anggap sebagai kekuatan anda.

Nyatakan 2 atau 3 pengalaman pencapaian yang telah memberikan anda kepuasan. Mengapa?

bekerja yang bagaimanakah dapat memberikan keselesaan kepada anda?

Bagaimanakah anda apabila bekerja dalam keadaan yang tertekan? (work under pressure)

Apakah kesulitan yang pernah anda hadapi dan bagaimana anda dapat mengatasinya.

Apakah yang anda telah pelajari daripada kesilapan-kesilapan pada masa-masa lalu?

Apakah objektif kerjaya jangka panjang anda?

Bagaimanakah anda merancang untuk mencapai matlamat kerjaya anda?

Apakah kualiti yang perlu ada pada seseorang yang berjaya?

Apakah subjek yang anda paling minat dan paling tidak minat sekali? Mengapa?

Apakah perubahan-perubahan yang anda akan lakukan semasa berada di kolej atau universiti? Mengapa?

Apakah yang anda telah pelajari daripada penyertaan anda dalam aktiviti kokurikulum?

Adakah anda mempunyai keutamaan tempat/lokasi anda bekerja? Mengapa?

ganjaran terpenting yang anda jangkakan dalam kerjaya anda?

Bincangkan sedikit tentang isu semasa yang berkait dengan kerjaya pilihan anda.

Tips Hadir Temuduga

PADA HARI TEMUDUGA:
  • Pakailah pakaian yang sesuai, kemas lagi bersih. Pelajar-pelajar lelaki perlu memakai tali leher. Jangan pakai pakaian yang terlampau berwarna-warni dan menjolok mata, berselipar, serta menggunakan minyak wangi dan alat-alat solek yang berlebihan. Elakkan memakai baju batik dan T-shirt. Cuba bayangkan jika anda yang menemuduga, anda pasti akan memilih calon yang berpakaian kemas.
  • Pakailah kasut kulit. Elakkan kasut kain, kasut sukan atau selipar.
  • Rambut anda hendaklah pendek bagi lelaki dan kemas disikat atau bertudung bagi perempuan.
  • Pastikan anda ada membawa bersama-sama anda surat panggilan temuduga, kad pengenalan, surat beranak, sijil-sijil asal, dokumen-dokumen asal serta surat-surat akuan asal (jika ada) untuk disemak oleh panel temuduga. Atur mengikut susunan yang dikehendaki dan sebaik-baiknya difailkan supaya nampak lebih kemas dan teratur. (Jangan digulung-gulung sijil anda).
  • Tentukan di mana, bila dan pukul berapa temuduga itu diadakan. Cuba untuk sampai antara 10 – 15 minit lebih awal supaya anda punya cukup masa untuk berehat dan bertenang, tetapi jangan terlalu lama sehingga anda berasa cemas pula. Jangan sekali-kali datang lambat.
  • Apabila dipanggil masuk ke dalam bilik temuduga, anda hendaklah mengetuk pintu terlebih dahulu sebelum masuk. Jangan berasa gentar, masuk dengan hati yang tenang serta penuh yakin.


TINGKAHLAKU SEMASA TEMUDUGA:


Semasa hendak masuk ke bilik temuduga janganlah gentar. Buat seperti biasa saja.

  • Biasakan memberi ucapan ‘selamat pagi/selamat petang’ mengikut pada keadaan waktu, atau ‘assalamualaikum’ sekiranya panel temuduga itu beragama Islam.
  • Jangan hulurkan tangan anda untuk berjabat tangan selagi penemuduga itu tidak membuat gerakan dahulu, jika kiranya ia hendak berbuat demikian.
  • Jangan terus duduk melainkan telah dijemput berbuat demikian. Apabila disuruh duduk, ucapkan terima kasih dan duduklah dengan sempurna serta tegakkan badan. Jangan menggelisah.
  • Jangan cuba hendak mengalih keadaan kerusi yang disediakan.
  • Serahkan dokumen-dokumen berkaitan apabila diminta. Jangan anda meletakkan barang-barang lain, tangan ataupun siku anda di atas meja penemuduga.
  • Jangan duduk bersilang kaki. Jangan goyang-goyangkan kaki ataupun menggerakkannya ke sana sini.
  • Jangan cuba hendak menjenguk atau membaca surat-surat dan lain-lain kertas yang terdapat di atas meja penemuduga.
  • Biarkan penemuduga memulakan perbualan.
  • Apabila bercakap pandanglah ke muka penemuduga itu.
  • Jangan menjawab soalan-soalan dengan tergopoh-gapah. Jawablah setiap soalan yang ditanya dengan terang dan jelas serta mudah didengar. Jawapan yang diberi itu hendaklah tepat dan jangan bercakap panjang lebar perkara yang tidak berkaitan. Jangan sekali-kali menggunakan bahasa kasar. Bercakaplah dengan penuh rasa yakin dan tenang.
  • Gunakan ganti nama seperti tuan/puan pada orang yang menemuduga dari semasa ke semasa, tetapi jangan selalu sangat menggunakannya pula. Apabila menyebut nama seseorang gunakan gelaran yang terdapat pada nama orang tersebut seperti Tuan/Tan Seri/Dato’/ Dato’ Seri/Tuan/Puan/Encik dan sebagainya.
  • Anda haruslah sentiasa bersopan santun biarpun ada ketikanya soalan yang dikemukakan mungkin mencabar anda. Perkara semacam ini selalunya disengajakan untuk melihat sejauhmana anda akan bertindak terhadap keadaan atau situasi yang menekan.
  • Tumpukan perhatian pada setiap soalan dan beri jawapan atau tindakbalas yang tepat dan sempurna.
  • Cuba kembangkan perbincangan pada tajuk/hal yang telah menarik perhatian penemuduga, tetapi bersedialah membatasi mana-mana yang dirasakan tidak menarik perhatian mereka.
  • Anda mestilah bersedia dan berwaspada pada setiap ketika. Hujahkan satu-satu ‘point’ itu dengan penuh semangat.
  • Cuba kembangkan jawapan “ya” atau “tidak” anda dengan sebab musabab yang munasabah.
  • Jika anda tidak tahu jawapan kepada sesuatu soalan, jangan cuba hendak berbohong ataupun mendiamkan diri sahaja kerana ini nanti akan melemahkan peluan anda. Sebaik-baiknya anda berterus terang yang anda tidak tahu jawapan bagi soalan berkenaan.
  • Jangan menguyah sesuatu semasa temuduga sedang berjalan.
  • Jangan sekali-kali cuba menyampuk semasa penemuduga sedang bercakap atau berbincang sesuatu di antara mereka.
  • Minta penjelasan sekiranya anda tidak begitu faham pada soalan-soalan tertentu.
  • Bersedia memberitahu penemuduga tentang keluarga, persekolahan, kegemaran dsb., selaiin dari pilihan kerjaya dan pengajian anda. Jangan bercakap berlebihan dan yang tidak sepatutnya. Jangan pula berbincang apa-apa masalah peribadi anda semasa temuduga.
  • Jangan menyeterui para penemuduga dengan sifat angkuh atau sifat tidak acuh yang anda tunjukkan.
  • Gunakan satu-satu bahasa tanpa campur-aduk dengan bahasa lain. Sebagai contoh jangan gunakan, “I fikir problem ini tidak dapat diselesaikan”. Ataupun “You taulah, problem ini begitu complicated”. Sekiranya disoal dalam Bahasa Melayu, jawablah dalam Bahassa Melayu dan sekiranya disoal dalam Bahasa Inggeris, anda perlulah pula menjawab dalam Bahasa Inggeris.
  • Cuba jawab semua soalan dengan tenang. Jangan cuba menengking penemuduga. Mungkin soalan itu mudah dan tidak berkaitan. Umpamanya jika ditanya berapa orang calon sedang menunggu di luar, itu tidak ada kaitan dengan pilihan kerjaya anda. Tujuan soalan sedemikian dikemukakan ialah untuk melihat sama ada anda ‘observant’ atau tidak.
  • Biarkan penemuduga itu menamatkan temuduga.
  • Di akhir temuduga, ucapkan terima kasih kepada panel temuduga kerana memberi peluang kepada anda menghadiri temuduga itu.
  • Tambahan: Jika diberi peluang untuk bertanya soalan, kemukakan soalan yang munasabah.


CONTOH SOALAN-SOALAN TEMUDUGA

Siapapun Amat Sukakan Kerja Kerajaan!

Banyak kelebihannya bekerja dengan sektor awam dan saya percaya disebabkan kelebihan-kelebihan inilah mengapa begitu ramai orang memohon jawatan kosong yang diiklankan di sektor awam. Antara kelebihan-kelebihan yang anda dapat sebagai seorang penjawat awam ialah:

  • Elaun perumahan - Ya, anda dapat elaun perumahan pada setiap bulan. Usah risau lagi untuk membayar sewa bulanan rumah anda kerana elaun ini sudah pasti akan membantu.
  • Cost of living allowance (COLA) - Anda bekerja di bandaraya yang taraf hidupnya adalah tinggi? Memang semuanya mahal, dari tambang bas, makan, tol dan lain - lain. Tahukah anda bahawa COLA ini dibayar berdasarkan di bandar mana anda bekerja?
  • Imbuhan tetap khidmat awam (Itka) Anda sebagai kakitangan awam, ada satu imbuhan khas disediakan khas buat anda. Ini adalah satu penghargaan buat mereka yang berkhidmat buat negara.
  • Kenaikan gaji setiap tahun - Anda berkhidmat untuk kerajaan, sudah pasti ada kenaikan gaji tahunan anda. Lagi lama anda berkhidmat, lagi tinggi kenaikan gaji yang anda perolehi. Sudah pasti anda sukar nikmati kenaikan ini di mana - mana selain di sektor awam.
  • Kemudahan pinjaman komputer dan kenderaan - Anda mahu buat pinjaman komputer ataupun pinjaman kenderaan? Dengan sepantas kilat anda boleh mendapatkannya.
  • Cuti tahunan mengikut kelayakan - Tahukah anda bahawa cuti diberikan paling minima adalah 14 hari iaitu buat pekerja am. Jika anda berjawatan professional, cuti anda adalah 25 hari. Itu belum campur lagi dengan kenaikan cuti tahunan dan juga kenaikan pangkat.
  • Cuti bersalin Usah risau - risau jika anda rasa anda/orang rumah anda perlu ambil cuti bersalin 2 bulan. Sudah tentu ianya diberikan dengan gaji terus jalan!
  • Pinjaman perumahan Ya, anda boleh mula memiliki aset terbesar dalam kehidupan anda, iaitu rumah! Dalam masa yang singkat, anda sudah boleh mula membuat pinjaman untuk membeli 'banglo' idaman anda.
  • Caruman KWSP atau pencen Anda pilih mana anda suka. Nak KWSP ke pencen ke? Kedua - duanya ada kelebihan tersendiri. Jadi, usah risau akan masa depan anda lagi..
    Bersara pada umur 58 tahun. Sungguh lama anda berkhidmat dalam kerajaan tu..Jika di luar sana, adakah anda akan diberikan peluang berkhidmat selama itu?
  • Peluang kenaikan pangkat Siapa taknak naik pangkat kan? Naik pangkat maknanya naik gaji dan juga anda naik selevel lagi dari tahap anda sebelum ini. Kiranya anda jadi bos la ni..
  • Peluang melanjutkan pelajaran Wah! Sambung belajar pun diberikan peluang. hebat tu! Dan untuk makluman anda, anda juga akan diberi peluang tajaan untuk menyambung pelajaran anda. Sudah tentu ini memberikan 1001 kebaikan buat anda dan juga kerajaan.
  • Peluang untuk berkursus dari semasa ke semasa Boleh dikatakan pada setiap bulan anda akan dihantar ke kursus. Sudah tentu banyak ilmu pengetahuan yang anda pelajari percuma yang di'support' oleh kerajaan. Jika anda hadir sendiri kursus tersebut, dekat 4 angka juga anda perlu bayar setahun.
  • Lebih banyak masa diluangkan bersama keluarga Ya, kini anda akan punyai lebih banyak masa bersama keluarga berbanding kehidupan sebelum ini. Dan keluarga anda semakin menyayangi anda seadanya...